Zanariah Abd Mutalib


BEKAS Pengerusi agensi kerajaan bergelar Datuk direman empat hari bagi membantu siasatan salah guna kuasa membabitkan kontrak kerajaan bernilai lebih RM99 juta.

Turut direman, seorang wanita iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat swasta bagi membantu siasatan berkaitan kes sama.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Semalam, SPRM menahan datuk berusia 64 tahun itu kira-kira jam 5.50 petang, manakala CEO wanita berusia 32 tahun berkenaan ditahan kira-kira jam 5.20 petang di ibu pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir memberi keterangan.

Menurut sumber, lelaki terbabit disyaki menggunakan jawatan dan kedudukannya sebagai pengerusi dalam agensi kerajaan untuk mencadangkan sebuah syarikat secara lantikan terus.

PEGAWAI SPRM mengiringi dua suspek (baju oren) untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini. Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR
PEGAWAI SPRM mengiringi dua suspek (baju oren) untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini. Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR

Katanya, ia bagi projek kempen pengiklanan digital untuk pasaran China dari 2018-2020 yang dianggarkan berjumlah lebih RM99 juta dengan menggunakan peruntukan agensi kerajaan berkenaan.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan pegawai badan awam,” katanya.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di mahkamah pada 9 pagi dengan memakai baju lokap SPRM serta tangan bergari.

Pada Jun tahun lalu, SPRM muncul di sebuah kementerian dipercayai berkaitan dengan kontrak ditandatangani agensi kerajaan itu dengan sebuah syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 10:56 AM