DR Azmi. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
DR Azmi. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Idris Musa

Kuala Lumpur: Andaian peluang Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Cameron Highlands akan menjadi lebih besar jika gabungan itu meletakkan calon dari UMNO dilihat berasas.

Pakar Geostrategis Profesor Madya Dr Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, andaian itu dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk komposisi pengundi Melayu yang besar di parlimen terbabit.

“Memang tepat sekali andaian jika calon dari UMNO, peluang untuk BN kekal kerusi lebih tinggi berbanding calon MIC.

“Bukan saja kerana komposisi pengundi Melayu yang menjangkau 33 peratus dan calon Pakatan Harapan (PH) adalah dari DAP yang mendorong pengundi Melayu akan undi calon Melayu tetapi faktor lebih penting adalah faktor PAS yang peroleh lebih daripada 3,000 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Jika dikaitkan dengan beberapa peristiwa seperti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan terutama sekali rusuhan kuil di Seafield, andaian pengundi Melayu lebih cenderung undi calon Melayu terutama sekali dari UMNO adalah begitu tinggi sekali,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam laporan media semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Tan Sri Noh Omar berkata, peluang BN mempertahankan kerusi Cameron Highlands akan menjadi lebih besar jika gabungan itu meletakkan calon UMNO.

Beliau berkata, ini berdasarkan situasi semasa di mana calon UMNO akan menambah keyakinan kerana terdapat jumlah pengundi Melayu yang besar di kerusi parlimen itu.

Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands pada 26 Januari ini diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon BN Datuk C Sivarraajh pada PRU14 lalu selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan berkenaan.

Pada PRU14, Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC menang di kerusi terbabit dalam saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi selepas memperoleh 10,307 undi.

Beliau menewaskan empat calon lain iaitu M Manogran (DAP) yang meraih 9,710 undi, Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS - 3,587 undi), Mohd Tahir Kassim (Berjasa - 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM - 680 undi).

Komposisi kaum berdasarkan data demografi PRU14 menunjukkan pengundi Melayu sebanyak 33.44 peratus, Cina (28.42 peratus), India (14.42 peratus) dan lain-lain yang kebanyakannya Orang Asli, 23.67 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 11:06 AM