AWANG Azman. FOTO Muhammad Sulaiman
AWANG Azman. FOTO Muhammad Sulaiman
Idris Musa

Kuala Lumpur: Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands disifatkan pertandingan menarik dan mencabar dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang seimbang.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, hal ini berdasarkan beberapa faktor yang diperhatikannya.

Menurutnya, daripada sudut calon tindakan BN memilih Orang Asli memberikan satu kelebihan buat mereka dengan peratus nisbah untuk menang antara BN dan PH 51:49.

“Kita lihat pertandingan sangat mencabar. Dengan perbezaan kecil nisbah ini, saya kira BN boleh gerakkan lagi jentera.

“Namun harus diingat, PH adalah kerajaan di peringkat persekutuan yang mempunyai pelbagai jentera.

“(Daripada aspek pengundi) apabila undi kaum India pecah saja, PH boleh menang. Undi Melayu pecah, BN kalah teruk. Kita kena akur UMNO, MCA, MIC (sudah) tak kuat,” katanya yang turut akui undi kaum Cina memihak kepada PH.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi semalam, bagi mengulas mengenai peluang calon bertanding memenangi PRK Cameron Highlands akan datang.

PH menamakan bekas calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) M Manogaran manakala BN menurunkan Ramli Mohd Nor yang juga Orang Asli suku Semai. Presiden MyPPP Tan Sri M Kayveas juga dilaporkan menawarkan diri sebagai calon.

Awang Azman berkata, PRK terbabit akan melihat sejauh mana PAS dapat membawa hampir 4,000 pengundinya membantu BN dan menguji kepemimpinan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menjalankan tugas presiden parti itu.

“Undi BN boleh berpecah terutama jika MyPPP bertanding. Saya jangka pertandingan empat atau lima penjuru akan berlaku termasuk dengan calon bebas,” katanya.

Komposisi kaum berdasarkan data demografi PRU14 menunjukkan pengundi Melayu di kawasan itu 33.44 peratus, Cina (28.42 peratus), India (14.42 peratus) dan lain-lain kebanyakannya Orang Asli (23.67 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 10:35 AM