Siti Sofia Md Nasir


SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng, mengucapkan tahniah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana berjaya memimpin Barisan Nasional (BN) sehingga menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Guan Eng berkata, beliau juga mengucapkan tahniah kepada calon BN, Ramli Mohd Noor, yang dipilih sebagai Ahli Parlimen Orang Asli pertama dalam sejarah negara.

“Selain itu saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada gabungan UMNO dan PAS yang berjaya tarik MCA dan MIC untuk menyokong mereka dalam PRK kali ini.

“Kejayaan untuk tarik mereka (MCA dan MIC) adalah di luar jangkaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Perpustakaan Digital di Georgetown, hari ini.

Guan Eng berkata, walaupun tewas pada PRK Cameron Highlands, Pakatan Harapan (PH) tetap berbangga apabila berjaya menambah undi sehingga tiga peratus.

Malah, katanya, PH juga berjaya menurunkan jumlah undi BN dan PAS daripada 4,184 pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kepada 3,238 undi kali ini.

“Di sebalik kekecewaan kerana tewas, kita berjaya kurangkan jumlah undi mereka dan tambah tiga peratus lagi undi.

“Ini beri kita kekuatan untuk lawan lagi dan memperbaiki diri serta jentera untuk PRK seterusnya,” katanya.

BN mengekalkan kerusi Parlimen Cameron Highlands apabila Ramli meraih 12,038 undi menewaskan calon PH, M Manogaran (8,800 undi) dan dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi).

PRK itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada BN dalam PRU-14 Mei tahun lalu, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 11:25 AM
LIM Guan Eng pada Sambutan Hari Kastam Sedunia ke 37 tahun 2019 di Kompleks Kastam Kelana Jaya. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM.
LIM Guan Eng pada Sambutan Hari Kastam Sedunia ke 37 tahun 2019 di Kompleks Kastam Kelana Jaya. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM.