SITI bersama penaja utama konsertnya sempena Hari Ibu.
SITI bersama penaja utama konsertnya sempena Hari Ibu.
Oleh Norhadiani Baharom


Wanita bernama Salmah Ismail begitu besar pengaruhnya dalam kehidupan figura seni yang cukup tersohor seantero Malaya ini.

Masakan tidak, wanita yang namanya tertera di barisan teratas pembuka kata tadi adalah ibu kepada Datuk Siti Nurhaliza Taruddin.

Tidak sekadar mewarisi kecantikan ibunya, bakat seni nyanyian yang mengalir dalam tubuhnya juga diwarisi daripada ibu, selain sifat tenang dan sabar yang sinonim dengan artis yang juga penerima anugerah paling banyak melebihi 200 trofi ini.

Malah Siti sempat menyenaraikan 10 perkara menarik mengenai ibunya saat diminta berbuat demikian.

“10 perkara istimewa mengenai emak saya, dia adalah insan paling penyabar pernah saya jumpa.

“Insan paling tabah. Dia menjaga arwah abah semasa abah sakit dan tidak pernah berenggang sehinggalah hujung nyawa abah. Emak dan abah saya, konon-konon dulu Erra dan Awie kerana abah suka menunggang motor besar dan selalu ditemani emak.

“Sekarang emak menjaga ibunya pula yang sakit. Saya selalu berharap dapat menjadi seperti emak.

“Emak juga seorang yang sangat baik hati dan itu saya tidak nafikan. Penyayang, malah masakannya paling sedap dalam dunia dan memiliki suara paling merdu. Emak paling cantik dan comel di mata saya.

“Dalam sifatnya yang penuh kelembutan, emak seorang yang tegas sebenarnya. Kami juga berkongsi zodiak yang sama iaitu capricorn. Bahkan emak juga ‘menteri kewangan’ di rumah yang paling hebat,” katanya.

Siti ditemui di Pusat Konvensyen TM, Menara Telekom, Bangsar sempena sidang media showcase Mother’s Day Miracle Night with Siti Nurhaliza anjuran OMGFest Ventures.

Melanjutkan perbualan mengenai perancangan persembahan yang bakal diadakan pada 15 Mei, jam 8 malam di Dewan Kristal Pusat Konvensyen TM itu, penghibur yang melonjak menerusi lagu Jerat Percintaan itu secara eksklusif akan menyediakan hidangan istimewa buat pemenang bertuah yang dipilih sendiri olehnya berdasarkan beberapa kriteria ditetapkan.

“Selain mendendangkan lagu-lagu hits saya termasuk lagu yang bersesuaian dengan tema sambutan Hari Ibu di mana ia ditampilkan dalam nafas baru, saya akan memasak untuk pemenang atau ibu bertuah pada malam itu.

“Kenapa memasak menjadi kelainan dalam persembahan kali ini. Masakan sinonim dengan wanita bergelar ibu yang sentiasa memastikan hidangan terbaik untuk anak-anak.

“Justeru, segmen itu diwujudkan sebagai membalas semula pengorbanan mereka. Saya mahu mewujudkan suasana kasih sayang antara ibu dan anak, tambahan pula sudah tiga tahun tidak membuat persembahan sempena Hari Ibu.

“Apa menunya, mana boleh beritahu. Kenalah datang menonton persembahan saya,” katanya.

Sebagaimana diketahui umum khususnya peminat beliau, Siti memang seorang yang pandai dan rajin memasak sekiranya mempunyai kelapangan.

Walau bagaimanapun, beliau tidak bercadang untuk mengusahakan restoran sendiri kerana beranggapan masakannya terlalu amatur.

Tidak ketinggalan, penyanyi ini juga bakal membuat satu lagi pengumuman berhubung perancangan konsert di Istana Budaya tidak lama lagi.

Bagi yang ingin menonton persembahan istimewa Hari Ibu dijayakan Siti, tiket dijual dengan harga RM399, RM599, RM799 dan RM999. Peminat boleh mendapatkannya menerusi www.redtix.airasia.com atau boleh menghubungi talian 03-89573348.

Pemegang tiket eksklusif yang berharga RM999 berpeluang untuk bertemu Siti dalam sesi bertemu peminat yang diadakan khas sebelum majlis itu berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:13 AM