A Asmadi Abd Aziz menunjukkan bot gentian kaca yang disita.
A Asmadi Abd Aziz menunjukkan bot gentian kaca yang disita.
Mohd Hilmie Hussin


POLIS percaya penduduk mahupun nelayan tempatan di sekitar Pantai Pengkalan Balak dan Kuala Sungai Baru, Alor Gajah terbabit dalam aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ia susulan 42 pendatang warga Indonesia ditahan menerusi tiga siri tangkapan antara 20 Disember lalu hingga Selasa lalu.

Lebih membimbangkan, penyeludup pendatang asing kini semakin berani menjadikan chalet di tepi pantai sebagai tempat menyembunyikan PATI yang baru mendarat di pantai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, dalam serbuan jam 12 tengah hari di sebuah chalet di Pengkalan Balak pada 29 Disember lalu, sepasukan polis menahan 17 PATI warga Indonesia masing-masing 13 lelaki dan empat wanita berusia antara 26 hingga 30 tahun.

Beliau berkata, ketika serbuan semua warga asing terbabit dalam keadaan bersedia untuk dipindahkan ke lokasi lain.

“Kita turut menahan empat lelaki dan seorang wanita dipercayai tekong yang menguruskan penyeludupan PATI itu.

“Sebelum itu, polis menahan tiga lelaki dan dua wanita warga Indonesia jam 2.10 pagi di Pulau Konet 20 Disember lalu. Turut ditahan bersama mereka dua lelaki tempatan dipercayai tekong,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini.

Selain tangkapan, polis turut menyita dua kereta Honda City dan Proton Saga yang digunakan untuk membawa PATI sebaik tiba di pantai.

Sementara itu, Asmadi berkata, pihaknya juga menahan 16 lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia berusia antara enam bulan hingga 30-an di Kuala Sungai Baru di sini.

“Mereka dipercayai baru mendarat di perairan negara selain dua lelaki dan seorang wanita tempatan yang bertindak sebagai tekong.

“Jumlah keseluruhan tangkapan 42 PATI dan kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2012 (Akta 747),” katanya.

Beliau berkata, kegiatan pendaratan PATI di pantai berkenaan dipercayai akibat pemantauan dan operasi yang dilakukan di sekitar perairan Selangor dan Negeri Sembilan.

“Namun saya bimbang dengan pembabitan penduduk tempatan dalam kegiatan ini.

“Polis memberi amaran kepada sesiapa yang terbabit supaya tidak memperjudikan perairan negara kerana banyak isu keselamatan akan timbul,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 5:58 PM