Raja Shahrom (depan) pada Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Raja Shahrom (depan) pada Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Mohd Hilmie Hussin


TUJUH tekong darat, laut serta ejen sudah dituduh di mahkamah selepas didapati terbabit dalam aktiviti penyeludupan manusia ke negara ini menerusi sempadan perairan Melaka.

Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, 11 kertas siasatan dibuka dan mereka yang didakwa itu membabitkan tangkapan dari November 2018 dan awal tahun ini.

Beliau berkata, dari November hingga Disember tahun lalu, lima serbuan dilakukan pihaknya bersama agensi lain seperti Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Tentera Malaysia.

“Untuk dua bulan terakhir tahun lalu, kita berjaya menyelamatkan 55 pendatang asing yang mendarat di pesisir pantai di Melaka dalam lima serbuan manakala untuk dua bulan pertama tahun ini, kita sudah menjalankan enam serbuan dan 39 warga asing diselamatkan,” katanya.

Beliau berkata, pesisir pantai khususnya di sekitar Ujong Pasir, Klebang, Kuala Sungai Baru dan Pulau Konet dikesan menjadi lokasi atau laluan masuk pendatang tanpa izin dengan bantuan tekong darat, laut dan ejen sindiket.

Beliau berkata, warga asing yang diselamatkan terdiri daripada warga Indonesia dan Pakistan selain pihaknya menahan warga tempatan yang bertindak sebagai tekong darat, laut dan ejen berusia lingkungan 20-an hingga 50-an.

Raja Shahrom berkata, modus operandi aktiviti penyeludupan manusia itu adalah tekong menempatkan warga asing tanpa dokumen sah itu di premis, inap desa atau pangsapuri sebelum membawa mereka ke pantai untuk menaiki bot yang disediakan.

Katanya, mereka yang ditangkap disiasat mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007 kerana menyeludup migran, Seksyen 26J ATIPSOM 2007 kerana mengangkut migran yang diseludup serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit sah.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis Melaka menerima 23 laporan terhadap pemilik akaun Facebook kerana menghina agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aishah, sehingga semalam dan laporan itu membabitkan 16 di Melaka Tengah, Alor Gajah (enam laporan) dan Jasin (satu laporan).

Katanya laporan berkenaan dirujuk ke Kontinjen Pahang yang pertama membuka kertas siasatan bagi kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 9:52 PM