ANGGOTA Bomba mengusung mangsa untuk dibawa ke Hospital Sultanah Maliha. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA Bomba mengusung mangsa untuk dibawa ke Hospital Sultanah Maliha. FOTO ihsan Bomba
Hamzah Osman

KESERONOKAN sekumpulan lelaki berkelah hampir bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka tergelincir pada ketinggian kira-kira 10 meter di Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi hari ini.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Syahrul Akbar Mohamed Iqbal, 23, berasal dari Rawang, Selangor, dilaporkan mengalami luka di badan dan sesak nafas selepas terjatuh.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi, Azrul Musa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.43 pagi berhubung kejadian itu.

“Kita menghantar sembilan anggota bersama dua jentera termasuk jentera Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) ke lokasi.

“Sebaik tiba, anggota kami mendapati seorang lelaki mengalami luka di dagu, belakang dan lutut, selain turut sesak nafas selepas tergelincir dan jatuh di air terjun itu,” katanya ketika dihubungi.

Azrul berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dan beberapa rakannya sedang mandi di air terjun itu selepas tiba di pulau ini untuk bercuti.

“Mangsa kemudian dibawa turun menggunakan pengusung sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) menggunakan ambulans,” katanya.

Difahamkan, mangsa yang masih dirawat di HSM berada dalam keadaan stabil, namun masih terkejut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 8:57 PM