Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Hampir 300 nelayan di Mukim Che Latif di sini, berhadapan kesukaran untuk melabuhkan bot mereka dan masalah itu bertambah kritikal apabila muara sungai Teluk Buaya semakin cetek sejak kebelakangan ini.

Muara sungai Teluk Buaya menjadi laluan keluar masuk nelayan dari empat kampung iaitu Kampung Pantai Mek Mas, Kampung Pulau Keseng, Kampung Kedai Buloh serta Kampung Kuala Besar.

Malah, setiap kali musim tengkujuh jeti Teluk Buaya menjadi tempat penyimpanan bot disebabkan terlindung daripada ombak serta tiupan angin Monsun Timur Laut.

Seorang nelayan, Norwi Mamat, 65, berkata, laluan sepanjang satu kilometer dari muara sungai sehingga ke tempat pelabuhan bot adalah lokasi yang terjejas teruk.

"Jika waktu air pasang tak ada masalah, kapal yang bersaiz besar pun boleh lalu, tetapi apabila air surut kapal terpaksa bersauh sementara arus kembali pasang.

"Bagaimanapun keadaan muara cetek semakin ketara sejak akhir-akhir ini sehingga terbentuk benteng pasir, sekali gus mendatangkan bahaya kepada bot nelayan.

"Malah ada dalam kalangan nelayan yang mengalami kerugian sehingga ribuan ringgit selepas bilah kipas enjin bot rosak akibat terlanggar benteng berlumpur," katanya ketika ditemui di Kampung Pantai Mek Mas, di sini, hari ini.

Muara sungai Teluk Buaya semakin cetek. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Muara sungai Teluk Buaya semakin cetek. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Sementara, Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kota Bharu, Saidi Mamat @ Ghani, 49, berkata, setiap tahun musim tengkujuh, hampir 100 bot yang kebanyakan adalah nelayan laut dalam dan memiliki bot kelas A tidak dapat masuk untuk menyimpan bot mereka sepanjang tempoh tengkujuh akibat air cetek.

"Bagi menyelesaikan masalah itu, saya sudah mengemukakan surat memohon kebenaran kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) beberapa hari lalu untuk mendalamkan muara sungai bagi kemudahan kapal nelayan keluar masuk.

"Setakat ini, beberapa nelayan secara sukarela sudah menghulurkan sumbangan secara peribadi untuk mendalamkan sungai dengan kos berjumlah hampir RM20,000 yang secara tidak langsung membantu menyelesaikan masalah yang sudah berlarutan sejak tiga tahun lalu.

"Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan segera memandangkan kebanyakan nelayan tidak mempunyai pendapatan tetap dan hidup mereka ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," katanya.

Penghulu Mukim Che Latif, Zinuddin Daud berkata, keadaan muara yang cetek bukan sahaja menyukarkan nelayan untuk keluar masuk tetapi mendatangkan bahaya kepada bot nelayan.

"Bukan sahaja kepada nelayan, malah penduduk yang tinggal di tepi Sungai Kelantan turut terjejas apabila berlakunya limpahan air sungai sehingga memasuki penempatan mereka.

"Terdapat lebih 10 kampung yang terletak di tepi sungai termasuk Kampung Pulau Kundor, Kampung Pantai Mek Mas dan Kampung Pulau Keseng yang dilanda banjir di apabila berlaku pertembungan air pasang besar dan hujan lebat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 1:52 PM