Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) maklum mengenai penarikan balik produk air minuman berbungkus (AMB) jenama Meadows keluaran Malaysia daripada pasaran Singapura.

Pengarah Keselamatan dan Kualiti Makanan, Mohd Salim Dulatti berkata, pihaknya sedang mendapat maklumat lanjut daripada Agensi Makanan Singapura (SFA) mengenai penarikan itu selepas SFA mengesan produk tercemar dengan bakteria Pseudomonas aeruginosa.

Katanya, bakteria Pseudomonas aeruginosa adalah sejenis bakteria yang terdapat secara meluas di persekitaran dan boleh ditemui di dalam air, najis, sisa kumbahan dan tanah.

"Bakteria ini boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan penyakit kepada manusia, khususnya kepada golongan yang mempunyai sistem ketahanan badan yang rendah.

"Namun, produk makanan yang dicemari bakteria ini jarang memberikan kesan kesihatan kepada individu yang sihat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Salim berkata, produk AMB yang ditarik balik berisipadu 1.5 liter dengan tarikh luput 9 November 2022.

"Bagaimanapun, semakan awal mendapati kilang yang menghasilkan produk ini mempunyai Pensijilan HACCP (Hazard Analysis Critical Control Point) dan Lesen Air Minuman Berbungkus daripada KKM.

"Selain itu, keluaran kumpulan (batch) daripada jenama sama tidak dipasarkan di Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Salim menegaskan produk AMB untuk jualan perlu mematuhi Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983.

Seksyen 13 akta itu menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan.

"Apabila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 11:43 AM