PEKERJA membersihkan palang besi pada bumbung lorong 'Touch n Go' dan Smart Tag di Plaza Tol Rawang Selatan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala Lebuhraya Guthrie, Rawang, yang jatuh akibat dipukul ribut, hari ini. FOTO ihsan pembaca.

Nurul Hidayah Bahaudin

BEBERAPA palang besi pada bumbung di Plaza Tol Rawang Selatan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala Lebuhraya Guthrie, Rawang, jatuh akibat ribut, hari ini.

Dalam kejadian 4 petang itu, beberapa palang besi pada bumbung plaza tol terbabit jatuh diterbangkan ribut yang berlaku ketika hujan lebat.

Saksi kejadian, Mohd Salleh Md Noor, 46, berkata ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Katanya, palang besi pada bumbung plaza tol berkenaan yang terbang ditiup ribut membabitkan lorong ‘Touch n Go’ dan Smart Tag.

“Saya sempat melihat beberapa palang besi berselerak di lorong terbabit. Mujur tiada kenderaan dihempap palang dan rangka besi itu ketika kejadian.

“Kejadian itu menyebabkan kesesakan teruk dianggarkan beberapa kilometer dari arah Sungai Buloh hingga ke plaza tol berkenaan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Malah, kesesakan lalu lintas dilaporkan di laluan berkenaan ekoran beberapa lorong ditutup bagi tujuan pembersihan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 7:17 PM