ZULAIKHA Wailah diselamatkan bapanya selepas dia terjatuh ke dalam air banjir. FOTO Rosli Ilham
ZULAIKHA Wailah diselamatkan bapanya selepas dia terjatuh ke dalam air banjir. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

“NASIB baik dia sempat berpaut pada tangga rumah yang hanyut itu. Kalau tidak sudah tentu dia akan hanyut dan lemas,” kata Suhairi Yaacob, 35, selepas anaknya terjatuh ke dalam air banjir yang memenuhi kawasan rumahnya di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, hari ini.

Anaknya, Zulaikha Wailah, dua tahun, terjatuh ke dalam air banjir namun dia bernasib baik sempat berpaut pada tangga rumahnya yang hanyut, kira-kira jam 12 tengahari.

Suhairi berkata, ketika kejadian air di kawasan kediamannya itu naik setinggi 1.5 meter, dia meminta isterinya, Suhaila Sulaiman, 25, bersiap untuk berpindah.

“Ketika itu, Zulaikha bersama abang dan kakaknya bermain di dalam rumah dan saya bersiap sedia untuk turun menyelamatkan puluhan ayam yang hanyut.

“Saya menasihati semua mereka duduk diam-diam dan jangan keluar rumah kerana air semakin naik,” katanya kepada NSTP ketika ditemui di Pusat Perpindahan Banjir di Surau Kampung itu, petang ini.

Suhairi berkata, air banjir telah naik melepasi paras pinggang dan ketika dia asyik menangkap ayamnya, tiba-tiba terdengar suara Zulaikha menjerit.

“Saya ketika itu berada di belakang rumah dan segera mengharung air hingga sampai ke depan rumah. Sata terkejut melihat Zulaikha berada di dalam air.

“Saya mencapai tangannya sebelum berjaya menyelamatkan dia. Nasib baik ketika jatuh dia sempat berpaut pada tangga rumah yang hanyut. Jika terlambat sudah tentu dia akan lemas,” katanya.

Katanya, dia kemudiannya membawa keluarganya itu ke dalam sampan sebelum menghantar mereka ke Pusat Perpindahan Banjir di Surau Kampung itu, kira-kira jam 1 petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Disember 2018 @ 7:18 PM