PEGAWAI Perubatan IJN Dr Tennyson Kwan Chong Chuen (tiga kiri) menyerahkan sumbangan kepada penerima bantuan di FELDA Pemanis 1 di Segamat.
PEGAWAI Perubatan IJN Dr Tennyson Kwan Chong Chuen (tiga kiri) menyerahkan sumbangan kepada penerima bantuan di FELDA Pemanis 1 di Segamat.
Wartawan NSTP


LEBIH 400 warga FELDA Pemanis 1 di Segamat menjalani pemeriksaan saringan kesihatan percuma menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Prihatin Jantung Anda, baru-baru ini.

Program sehari anjuran Institut Jantung Negara (IJN) itu turut mendapat kerjasama Adabi Consumer Industries (Adabi), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Ikatan Seni Komuniti FELDA (ISKAF).

Eksekutif Kanan IJN Shahroni Haron berkata, objektif utama program CSR itu untuk membantu masyarakat mencegah penyakit jantung dengan cara memantau gaya hidup dan tahap kesihatan mereka.

Katanta, FELDA Pemanis 1 menjadi lokasi ke-19 sekali gus terakhir untuk program Prihatin Jantung Anda bagi tahun ini.

“Selain saringan kesihatan percuma merangkumi pemeriksaan indeks jisim badan, ujian tekanan darah, tahap kolesterol dan glukos, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan.

“Ia termasuk pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, Ziarah Kasih ke rumah penduduk, pertandingan memasak makanan sihat, kenduri bersama Adabi serta banyak lagi.

“Secara keseluruhan, program Prihatin Jantung Anda di 19 lokasi sepanjang tahun ini memberi manfaat kepada lebih 33,000 penduduk.

“IJN berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan pengisian lebih menarik dan memberi faedah kepada orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 7:13 PM