KANAK-KANAK yang menghidap penyakit jantung, Nur Izara Mohd Nasir 3, dan ibunya Noor Hashimah Hussin melihat panda selepas majlis Penyerahan Sumbangan PKNS kepada Yayasan Institut Jantung Negara di Zoo Negara.
KANAK-KANAK yang menghidap penyakit jantung, Nur Izara Mohd Nasir 3, dan ibunya Noor Hashimah Hussin melihat panda selepas majlis Penyerahan Sumbangan PKNS kepada Yayasan Institut Jantung Negara di Zoo Negara.
DR Daroyah (dua dari kanan) mewakili PKNS menyerahkan cek kepada Aishah sambil diperhatikan Noraida (kanan), semalam.
DR Daroyah (dua dari kanan) mewakili PKNS menyerahkan cek kepada Aishah sambil diperhatikan Noraida (kanan), semalam.
Ayusliza Azizan

Kuala Lumpur: Bagi membantu pesakit jantung yang memerlukan kos menjalani pembedahan jantung, pembelian alat peranti sokongan dan pembedahan pindahan jantung, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), prihatin dengan menyumbang RM100,000 kepada Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) semalam.

Pengurus Besar PKNS, Noraida Mohd Yusof berkata, sumbangan zakat berkenaan turut diberikan bagi meringankan beban asnaf gharimin dalam membayar kos perubatan.

“Melalui bantuan wang zakat ini, PKNS berharap dapat membantu meringankan beban mereka yang tidak mampu membiayai bil rawatan atau kos pembedahan jantung.

“Inisiatif ini juga adalah salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) PKNS kepada institusi perubatan menerusi pengagihan semula wang zakat PKNS selain mengembalikan semula keuntungan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan PKNS kepada Yayasan IJN di Pusat Konservasi Giant Panda, Zoo Negara di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, cek disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Selangor, Dr Daroyah Alwi kepada Pengerusi Yayasan IJN, Toh Puan Aishah Ong.

Dalam pada itu, Noraida berkata, pihaknya bercadang untuk menjadikan sumbangan kepada Yayasan IJN sebagai peruntukan tahunan memandangkan kos rawatan pesakit jantung sangat tinggi dan sangat diperlukan oleh mereka yang tidak mampu.

Sementara itu, Aishah berkata, pihaknya berbesar hati menerima sumbangan melalui program kasih PKNS yang akan meringankan beban kepada kos rawatan pesakit jantung yang tinggi.

Beliau berkata, pada tahun lalu, Yayasan IJN sudah membelanjakan RM3.5 juta bagi membantu 124 pesakit dengan 71 daripadanya adalah dewasa, manakala 53 kanak-kanak.

“Manakala pada tahun ini, sehingga Oktober lalu, sebanyak RM3.2 juta dibelanjakan untuk 137 pesakit, dewasa (73) dan kanak-kanak (64), ia menunjukkan peningkatan jumlah pesakit dan kami sentiasa berusaha mendapatkan dana bagi membantu pesakit yang memerlukan.

“Kita juga dapati sebanyak 28 peratus pasakit yang hadir ke IJN adalah daripada golongan miskin dan setiap bulan terdapat permohonan bagi membantu kos pembiayaan,” katanya.

Pada majlis sama, Yayasan IJN turut menyambut ulang tahunnya yang ke-21 dengan meraikan 30 bekas kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung.

Ibu kepada bekas pesakit, Noor Azila Abdullah, 44, berkata, anaknya Fitri Nur Iman Abdul Wasi, 8, menjalani pembedahan jantung pada tahun lalu dengan kos RM30,000 yang sepenuhnya ditanggung Yayasan IJN.

Katanya, anak perempuannya itu menghadapi masalah injap jantung bocor sejak bayi lagi.

“Sebagai ibu tunggal dan tiada pendapatan tetap ia membebankan saya untuk mendapatkan wang bagi menampung kos pembedahan yang tinggi termasuk rawatan bulanan dengan anggaran kira-kira RM450.

“Saya bersyukur Yayasan IJN banyak membantu dan anak saya kini dalam proses pemulihan serta masih mendapatkan rawatan susulan di IJN,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 8:18 AM