GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Petah Wazzan Iskandar


POLIS menahan dua ulat parkir yang dipercayai menyerang anggota penguat kuasa Majlis Bandararaya Alor Setar (MBAS) dengan rantai besi di Jalan Putra, Alor Setar, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, dua suspek berusia 30-an dan 50-an ditahan dalam tempoh 24 jam selepas laporan polis dibuat mangsa.

Berdasarkan laporan, katanya, mangsa bersama rakannya sedang membuat rondaan bermotosikal membanteras ulat parkir sekitar daerah Kota Setar.

“Mangsa kemudian mengusir dua suspek yang sedang membuat kutipan parkir haram sebelum salah seorang darinya melibas rantai besi hingga terkena lengan kiri mangsa, manakala seorang lagi suspek mengacu sebilah pisau ke arah mangsa.

“Susulan laporan mangsa yang mengalami kecederaan itu, kita menggerakkan anggota untuk memburu suspek sebelum mereka berjaya ditahan bersama sebilah pisau dalam tempoh 24 jam,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Katanya, saringan ujian air kencing dilakukan mendapati dua suspek terbabit positif Methamphetamine.

“Kedua-dua mereka direman sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 5:46 PM