GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


POLIS Sarawak meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang wanita yang didakwa menipu seorang pelanggannya dalam urusan jual beli kayu gaharu yang diimport dari China.

Suspek dikatakan memperdayakan seorang lelaki berusia 53 tahun yang berminat membeli kayu gaharu untuk kegunaan sebuah tokong di Kota Samarahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa yang juga pengurus tokong berkenaan tertarik dengan tawaran suspek yang dibuat pada 15 Disember tahun lalu, yang mendakwa majikannya menjual kayu gaharu import.

Beliau berkata, selepas bersetuju dengan tawaran itu, suspek meminta wang pendahuluan sebanyak RM11,792 dan pembayaran dilakukan secara tunai di rumah mangsa.

“Suspek berjanji barang yang dibeli oleh mangsa akan sampai di dalam tempoh 55 hari dan selepas hari yang ke-45, suspek mengatakan kayu gaharu itu sudah sampai di Pelabuhan Kuching.

“Dia kemudiannya meminta mangsa membuat pembayaran berjumlah RM10,000 dan selepas mangsa menyerahkan wang tunai itu, suspek sekali lagi meminta sebanyak RM1,500 untuk menyelesaikan beberapa urusan lain,” katanya di Kuching.

Selepas pembayaran dibuat, mangsa ingin mengambil barangan yang dibeli, namun suspek cuba mengelak dan mengatakan majikannya sudah meninggal dunia kerana terbabit dalam kemalangan.

“Mangsa yang menyedari ditipu, meminta wangnya dikembalikan dan pada 12 Februari lalu suspek memulangkan wang berjumlah RM5,000 kepada mangsa, tetapi baki wang selebihnya tidak dikembalikan.

“Selepas itu, suspek tidak lagi menjawab panggilan telefon mangsa sehinggalah pada 21 Februari tahun ini, suspek membuat laporan polis berhubung kes itu,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita yang dikenali sebagai Eileen Then itu dikehendaki menghubungi Mustafa di talian 019-7000577 atau Asisten Superintendan Simon Renang di talian 016-8547803 untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 3:23 PM