SYED HAIDIL SYED AHMAD
SYED HAIDIL SYED AHMAD
Norsyazwani Nasri


JABATAN Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak memohon bantuan orang ramai mengesan Syed Haidil Syed Ahmad, 37, bagi membantu siasatan kes jenayah penipuan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, pihaknya menerima dua laporan dibuat pada 16 Februari 2016 dan 4 September 2018 berkait kes penipuan yang menyamar anggota polis.

Katanya, mangsa adalah wanita berusia 28 tahun dan lelaki 50-an mendakwa ditipu suspek yang menyamar sebagai polis untuk membantu menguruskan insurans nyawa arwah suami dan penipuan jualan kenderaan dilupus kerajaan.

“Dalam kes pertama, suspek didakwa memperdaya mangsa yang kematian suami hingga dia menyerahkan wang tunai RM8,600 kepada suspek, manakala kes kedua pula mangsa mendakwa kerugian RM5,963.10.

“Ia selepas suspek menawarkan penjualan tiga motosikal dan dua kereta yang hendak dilupus kerajaan serta tawaran untuk menjelaskan saman trafik mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, Mustafa berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut supaya menghubungi talian 019-7000577 atau Asisten Superintendan Pricha Azin di talian 019-8897640.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 1:17 PM