IBRAHIM bersama Honda Stream yang dibida dengan harga RM13,500 pada Program Lelongan Awam Kenderaan Sita di JPJ Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Zaid Salim.
IBRAHIM bersama Honda Stream yang dibida dengan harga RM13,500 pada Program Lelongan Awam Kenderaan Sita di JPJ Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Zaid Salim.
Zaid Salim


“SAYA nak hadiahkan kereta ini untuk isteri,” kata Ibrahim Mohamad, dari Taman Sri Gelugor, Kampung Pengadang Baru, Kuala Terengganu.

Ibrahim, 74, yang juga pengusaha bas sewa khas berkata, dia pada mulanya berhajat mendapatkan Honda Jazz, tetapi gagal apabila tidak sempat membida selepas bidaan ditutup.

“Bagaimanapun, saya bersyukur apabila berjaya memperoleh Honda Stream ini dengan harga bidaan RM13,500.

“Saya tidak pernah menyertai mana-mana proses lelongan sebelum ini, namun tertarik untuk turut serta kerana mahu menjadikan ia hadiah buat isteri, Mariam Osman, 66.

“Ini hadiah untuk isteri sebagai membalas jasanya sepanjang perkahwinan kami,” katanya ketika ditemui pada Program Lelongan Awam Kenderaan Sita di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

Sementara itu, Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, sebanyak 47 kenderaan termasuk 20 kereta klon dilelong dengan kutipan keseluruhan RM419,510.

Beliau berkata, lelongan membabitkan pelbagai jenis kenderaan antaranya Honda Odyssey, Honda Jazz, Honda City, Honda Accord, Subaru Impreza, Proton Perdana, Proton Iswara dan 14 motosikal dengan lebih 130 pembida.

“Kereta paling tinggi dibida ialah Honda Odyssey iaitu RM31,000 manakala bidaan paling rendah ialah Honda Jazz dengan nilai bidaan RM9,500 dan Yamaha RXZ menerima bidaan paling tinggi untuk motosikal iaitu RM4,650.

“Kami berjaya menjual 217 buku senarai kenderaan yang dilelong dengan harga RM70 senaskah.

“Bagaimanapun, hanya 130 pembida hadir pada hari ini dan proses lelongan berjalan dengan lancar,” katanya.

Beliau berkata, daripada 47 kenderaan itu, 20 daripadanya adalah kereta klon, lapan kereta dan 14 motosikal yang disita kerana tidak memiliki cukai jalan serta lima kenderaan tidak boleh daftar (scrap) iaitu empat motosikal dan sebuah kereta.

Menurutnya, pembida yang berjaya dikehendaki membayar 25 peratus daripada harga dibida dan baki sebanyak 75 peratus perlu diselesaikan dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh lelongan.

Katanya, jika bayaran baki 75 peratus gagal dibayar dalam tempoh seminggu (tujuh hari bekerja) daripada tarikh lelongan, wang dibayar sebelum ini akan menjadi milik kerajaan manakala lelongan itu terhadap kereta terbabit dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 10:54 PM