GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Fazrik Kamarudin


SERAMAI 13 ahli Parlimen dan 24 anggota pentadbiran kerajaan termasuk setiausaha politik didapati masih belum mengisytiharkan harta.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Bahrin Mohd Jamil berkata, ia adalah jumlah terkini yang boleh disemak menerusi portal Perisytiharan Harta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, sehingga hari ini seramai 115 ahli parlimen dan 63 anggota pentadbiran kerajaan sudah mengisytiharkan harta mereka.

“Ada yang bertanya kepada kita, apa tindakan atau langkah seterusnya yang boleh SPRM ambil terhadap mereka, tetapi sebenarnya kita tidak boleh berbuat apa-apa.

“Bagi kita, itu adalah janji mereka, maka mereka haruslah menunaikan janji mereka untuk melaksanakannya (isytihar harta).

“Mereka perlu buat pengisytiharan kepada Perdana Menteri, dan Perdana Menteri akan menghantar salinan kepada kita, maka isunya sama ada mereka mahu buat atau tidak terpulang pada mereka,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika ditemui selepas perasmian program Walkabout Perdana Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2018, di Putrajaya, hari ini.

Bertemakan ‘Bersama Memerangi Rasuah’, program bersama SPRM bersama Transparency Internationa Malaysia, Yayasan Anti Rasuah Malaysia, Majlis Belia Malaysia dan Corporate Research And Investigation Group.

Program itu disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Mengulas lanjut, Shamsun Bahrin berkata, pihaknya akan terus menunggu pengisytiharan harta oleh mereka yang masih belum berbuat demikian.

“Kita tiada undang-undang mewajibkan mereka mengisytiharkan harta, apa yang dilakukan sekarang adalah mengikut kod etika yang sedia ada.

“Bagaimanapun, kami sedia membantu mana-mana ahli parlimen yang masih belum buat, kita akan hubungi setiausaha sulit atau pegawai mereka untuk meminta ia dilakukan secepat mungkin.

“Kita juga berharap pada tahun depan apabila dibentangkan peraturan baru berkaitan pengisytiharan harta untuk semua Ahli Parlimen, semua pihak akan menyambutnya dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 11:11 AM