KEADAAN ambulans yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah van di Kilometer 5 Jalan Bahau-Juasseh, Jempol, hari ini. Foto ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
KEADAAN ambulans yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah van di Kilometer 5 Jalan Bahau-Juasseh, Jempol, hari ini. Foto ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


SEORANG remaja lelaki yang menghidap demam denggi terselamat walaupun ambulans membawanya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah van di Kilometer 5 Jalan Bahau-Juasseh, Jempol, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, pemandu van, 55, bagaimanapun patah tangan dan kaki kanan, manakala isteri dan empat anaknya berusia antara sembilan hingga 20 tahun cedera ringan.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 1.30 tengah hari apabila ambulans dari arah Bahau ke Juasseh melanggar van berkenaan yang sedang membuat pusingan-U di hadapannya.

“Pemandu ambulans yang dalam perjalanan menghantar seorang pesakit berusia 14 tahun ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah itu tidak sempat mengelak daripada melanggar van terbabit.

“Bagaimanapun, pesakit, pemandu ambulans dan seorang penolong pegawai perubatan tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Katanya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jempol dan HTAN untuk rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 7:39 PM