FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nor Azura Abdul Jalil


PENUNTUT universiti swasta dihukum penjara sehari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mencuri pelbagai barangan di pasar raya di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, minggu lalu.

Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki menjatuhkan hukuman itu terhadap Rohaiza Fathar, 20, selepas tertuduh mengaku salah sebaik saja pertuduhan dibacakan kepadanya.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri pelbagai barangan termasuk baju, beg dan coklat bernilai RM559.70 di pasar raya di Jalan Tunku Abdul Rahman pada 1.30 petang, 30 November lalu.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, tertuduh memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kepadanya atas alasan dia menyesal kerana salah memilih kawan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mohd Ashif bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 3:45 PM