Mohamad Hamdan (tengah) bergambar bersama pemain pada perlawanan amal antara JBPM Selangor menentang RMC di Stadium Universiti Malaya. FOTO Luqman Hakim Zubir
Mohamad Hamdan (tengah) bergambar bersama pemain pada perlawanan amal antara JBPM Selangor menentang RMC di Stadium Universiti Malaya. FOTO Luqman Hakim Zubir
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


KEADAAN anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim,24 yang parah selepas dipukul perusuh hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, di Subang Jaya kini tidak lagi menggunakan mesin sokongan jantung.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohamad Hamdan Wahid berkata, bagaimanapun Muhammad Adib masih lagi menggunakan mesin sokongan di bahagian paru-paru.

“Saya diberitahu oleh pakar kardiotorasik, (Datuk Dr Mohamed Izani Md Taib) bahawa jantungnya sudah berfungsi dengan sendiri.

“Dia tidak lagi memerlukan mesin sokongan di bahagian jantung. Namun keadaannya masih lagi dikategorikan sebagai kritikal namun stabil,” katanya ketika ditemui pada Perlawanan Amal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dan Road Malaysia Celebrity (RMC) disini hari ini.

Program yang dianjurkan RMC adalah untuk mengumpul dana bagi membantu keluarga enam anggota yang lemas bulan lalu.

Selain itu, dana turut dikumpul untuk keluarga Muhammad Adib yang cedera dalam rusuhan berkenaan.

Mengulas berhubung siasatan terkini kejadian yang menimpa Adib, Mohamad Hamdan berkata, seramai lapan anggotanya sudah diambil keterangan oleh polis kelmarin.

“Anggota yang berada di lokasi itu sudah diambil keterangan oleh Pegawai Penyiasat di Institut Jantung Negara.

“Semalam polis dan bomba melakukan lakonan semula kejadian berkenaan di lokasi kejadian. Kita menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 10:55 PM