Mazizul Dani dan Ayisy Yusof dan Nurul Hidayah Bahaudin


PEMILIK hartanah, Skypark, The Palace dan The Square membuat beberapa laporan polis berhubung kerosakan bangunan yang terletak di OneCity, USJ 25, Subang Jaya, akibat rusuhan, Selasa lalu.

Wakil Badan Pengurusan Bersama (JMB) tiga hartanah itu, Choong Li Loh, berkata, laporan polis itu dibuat pada hari kejadian sebaik menerima maklumat berhubung insiden terbabit.

“Kami sudah meminta bantuan polis dan kerajaan bagi membantu menyelesaikan masalah ini.

“Buat masa ini, kami belum mengenal pasti jumlah premis dan harta benda yang terjejas akibat itu. Mungkin dalam minggu depan, kami dapat mengenal pasti jumlah laporan polis dibuat termasuk jumlah kerugian sebenar,” katanya pada sidang media di Subang Jaya, hari ini.

Dalam sidang media itu, Choong menjelaskan bahawa rusuhan yang berlaku berpunca daripada salah faham orang ramai bahawa bangunan itu dimiliki syarikat pemaju MCT Berhad atau One City Development Sdn Bhd.

“OneCity, USJ, 25, adalah satu pembangunan bersepadu dimiliki 939 pemilik individu dan bukan milik syarikat pemaju MCT Berhad ataupun One City Development Sdn Bhd.

“Semua hartanah termasuk menara pejabat dan unit di One City, USJ 25 dimiliki pemilik individu dan diuruskan oleh tiga badan pengurusan seperti dinyatakan dalam Akta Hakmilik Strata.

“Pemilik tanah Kuil Sri Maha Mariamman dimiliki One City Development Sdn Bhd (anak syarikat MCT Berhad). Kami tiada kaitan langsung dengan pihak terbabit,” katanya.

Katanya, One City Development Sdn Bhd yang dimiliki oleh MCT Berhad hanya menyewa bangunan terbabit.

“Malah, menara pejabat ini juga disewa oleh penyewa lain termasuk beberapa syarikat multinasional,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berduka cita terhadap insiden yang berlaku dan menyifatkan pihaknya adalah mangsa keadaan.

“Secara peribadi, kami kecewa dengan kejadian ini kerana tiada kaitan dengan isu kuil terbabit, namun terkena tempias.

“Malah, kami terpaksa menanggung sendiri kerugian dialami akibat rusuhan yang menyebabkan kerosakan bangunan ini,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi Selasa lalu, cermin dan pintu masuk bangunan OneCity, USJ 25, pecah akibat rusuhan oleh kumpulan perusuh yang berarak dari kuil itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 8:06 PM