Omar Osman


LIMA mat rempit berusia antara 17 hingga 27 tahun termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) lembam ditahan polis trafik kerana menunggang motosikal secara berbahaya dalam Ops Samseng Jalanan di Sungai Petani, malam tadi.

Operasi diadakan dari 1 hingga 7 pagi di Kilometer 56 Jalan Alor Setar-Butterworth dekat Lagenda Height dan beberapa lokasi sekitar bandar Sungai Petani.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisinor Md Zukir Md Isa berkata, OKU berusia 18 tahun itu dan empat lagi ditahan di Lagenda Height.

Beliau berkata, kelima-lima mat rempit itu ditahan selepas polis trafik membuat pemantauan terhadap 40 lelaki bermotosikal yang berlumba serta melakukan pelbagai aksi termasuk gaya 'superman'.

Katanya, selepas membuat pengecaman, anggota trafik mengekori sebelum memintas dan menahan mat rempit terbabit secara berasingan sekitar Lagenda Height.

"Kelima-lima yang ditahan dibawa ke Balai Trafik Kuala Muda bersama motosikal dan direman pagi ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal dalam keadaan bahaya," katanya.

Beliau berkata, polis juga memeriksa 30 motosikal dan mengeluarkan 12 saman kerana pelbagai kesalahan, termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh serta tiada nombor pendaftaran.

"Operasi membabitkan enam pegawai dan 38 anggota dari Trafik Kuala Muda bersama pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Kontinjen Kedah, anggota Ops Selamat Zon Utara dan Unit Rondaan Bermotoiskal( URB).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 2:20 PM
Polis memeriksa motosikal mat rempit yang ditahan dalam Ops Jalanan di Lagenda Height, Sungai Petani, hari ini. - Foto OMAR OSMAN
Polis memeriksa motosikal mat rempit yang ditahan dalam Ops Jalanan di Lagenda Height, Sungai Petani, hari ini. - Foto OMAR OSMAN