FOTO hiasan Arkib NSTP
FOTO hiasan Arkib NSTP
Rohaniza Idris


KERAJAAN akan membantu pesawah dan pekebun kecil getah menambahkan pengeluaran masing-masing dengan memberikan beberapa insentif khas.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan sedang menjalankan beberapa perbincangan untuk membolehkan Skim Subsidi Harga Padi (SSPH) dinaikkan kepada RM360 bagi satu tan metrik berbanding RM300 bagi satu tan metrik.

“Ini adalah cara kita untuk membantu pesawah, manakala bagi pekebun kecil getah kita mempertimbangkan penetapan paras harga Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM2.50 sekilogram berbanding RM2.20 ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di lobi Parlimen selepas menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada perbahasan Rang Undang-undang Pebekalan 2019, 13 November lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH PKR-Port Dickson) meminta Guan Eng memberi perhatian kepada nasib golongan nelayan, petani, peladang dan pekebun kecil dalam Belanjawan 2019.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, rata-rata golongan itu hidup miskin tetapi peruntukan untuk mereka pula agak kecil dan ada yang dipotong.

Guan Eng berkata, sasaran utama Kementerian Kewangan adalah bagi menambah pendapatan golongan berkenaan.

Justeru, katanya tumpuan diberikan bagi pemberian subsidi dan insentif khas bagi pengeluaran.

Sementara itu, ditanya mengenai pelaksanaan Dana Perlindungan Kesihatan Nasional kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang memberi manfaat kepada syarikat insurans asing, katanya, perkara itu tidak timbul kerana Bank Negara Malaysia (BNM) mengendalikannya.

“Itu sebab kita lantik Bank Negara (Malaysia) bagi menguruskannya,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan memperkenalkan Dana Perlindungan Kesihatan Nasional untuk golongan isi rumah B40.

Dana usahasama dengan syarikat insurans swasta itu menawarkan perlindungan percuma ke atas empat penyakit kritikal utama sehingga nilai RM8,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 9:25 PM