POLIS merampas daun ketum disimpan dalam but kereta. FOTO ihsan Polis
POLIS merampas daun ketum disimpan dalam but kereta. FOTO ihsan Polis
Noor Hidayah Tanzizi


CUBAAN buruh ladang sawit membawa pulang 80 kilogram (kg) daun ketum ke rumahnya di Pahang untuk dijual, gagal selepas ditahan polis di tepi jalan Kampung Teluk Memali, Kampung Gajah, hari ini.

Dalam kejadian 5 pagi itu, kereta dipandu lelaki berusia 37 tahun yang beralamat di Karak itu ditahan anggota Unit Peronda Polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, selepas dia dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah, berkata, hasil pemeriksaan pada but belakang kereta itu menemui empat plastik hitam dipercayai mengandungi daun ketum seberat 80 kg dianggarkan bernilai RM1,600.

"Pemeriksaan pada tubuh lelaki itu tidak menemui barang salah, namun pemeriksaan lanjut pada kereta menemui empat plastik hitam dipercayai mengandungi daun ketum dalam but belakang.

"Ketika ditahan lelaki terbabit dalam perjalanan pulang ke Pahang dan mendakwa datang ke kawasan Kampung Gajah hanya untuk mendapatkan bekalan daun ketum sebelum dijual di tempatnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, lelaki berkenaan mengaku baru sebulan terbabit dengan aktiviti jualan ketum dan ini kali kedua dia datang ke Kampung Gajah untuk mendapatkan bekalan daun ketum pada harga RM20 sekilogram.

Katanya, ujian saringan awal air kencing bagaimanapun mendapati suspek negatif dadah selain tiada rekod lampau.

"Polis merampas daun ketum itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya.

Rabu lalu, polis turut menahan lelaki dan merampas daun ketum seberat 90 kg yang disimpan dalam but belakang kereta dipandu lelaki itu di Jalan Datok Paduka Raja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 1:30 PM