GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diyakini sudah melakukan persediaan secukupnya bagi menduduki peperiksaan berkenaan, Isnin ini.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, pastinya ada perbezaan dari segi persediaan serta proses pembelajaran bagi calon SPM pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

"Akibat pandemik Covid-19, tiada pembelajaran secara bersemuka bagaimanapun kekurangan itu diterima semua pihak memandangkan situasi berkenaan berlaku di seluruh dunia.

"Namun, kita tahu bahawa pelajar berada pada tahap yang matang dan mengetahui betapa pentingnya SPM sebagai penentu hidup mereka sekali gus mendorong pelajar berkenaan melakukan persiapan secukupnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Aminuddin berkata, guru serta sekolah turut komited membantu calon SPM dalam sesi pembelajaran dengan menggunakan apa saja medium memandangkan kekangan untuk menyampaikan ilmu secara bersemuka.

"Daripada segi prosedur operasi standard (SOP), ia sudah dirangka dengan teliti oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Lembaga Peperiksaan bagi membolehkan calon menghadapi peperiksaan berkenaan dengan selesa.

"Dalam perkara ini (SOP) pihak sekolah memainkan peranan penting di belakang tabir bagi melakukan persiapan menjelang peperiksaan terbabit," katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, ibu bapa calon SPM tidak perlu risau dengan persiapan peperiksaan itu yang sudah diuruskan oleh petugas.

"Ibu bapa perlu yakin terhadap KPM yang sudah memikirkan segala kemungkinan yang bakal dihadapi sepanjang peperiksaan itu.

"Apa yang penting adalah pematuhan SOP. Pada masa sama, pihak guru sudah diarahkan supaya memastikan pelajar selesa ketika menghadapi peperiksaan," katanya.

Beliau menasihatkan calon supaya tidak terlalu memikirkan keputusan yang bakal diperoleh sebaliknya menumpukan persediaan fizikal dan emosi sebelum masuk ke dewan peperiksaan.

"Dalam keadaan ini, calon perlu menerima hakikat bahawa mereka dalam keadaan sama iaitu menghadapi halangan apabila tiada peluang untuk belajar secara bersemuka.

"Apa yang perlu calon lakukan adalah doa, usaha, iltizam dan tawakal dalam menempuhi peperiksaan ini. Calon perlu meyakinkan diri bahawa mereka boleh melakukan yang terbaik meskipun berdepan kesukaran," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 5:27 PM