Abdul Wahid
Abdul Wahid
BERNAMA

“PELUANG keemasan ini memenuhi impian saya untuk menyumbang dalam pendidikan, kepimpinan dan pembangunan sumber manusia. Saya akan cuba buat yang terbaik untuk UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan negara,” kata Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau yang juga bekas anggota Kabinet dan tokoh korporat mengulas mengenai pelantikannya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baharu berkuatkuasa 1 November 2018 hingga 31 Oktober 2021, menggantikan Tan Sri Dr Ibrahim Saad.

UKM dalam kenyataan hari ini berkata Abdul Wahid, yang juga bekas Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), adalah tokoh korporat yang versatil di Malaysia dan berpengalaman luas dalam memimpin empat organisasi utama dalam pembangunan infrastruktur, telekomunikasi, perkhidmatan kewangan dan pengurusan pelaburan.

Abdul Wahid dilantik sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam perancangan ekonomi pada Jun 2013 sehingga Ogos 2016 sebelum dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan PNB, sebuah syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Bhd, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group Bhd, Naib Pengerusi Eksekutif PLUS Expressways Bhd dan Pengerusi Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia.

Abdul Wahid dalam kenyataan yang sama amat menghargai penghormatan yang diberikan dan berbesar hati menerima pelantikan tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 11:15 PM