GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad

EMPAT pelajar sekolah menengah dilaporkan sesat ketika mendaki di Hutan Lipur, Cherok Tokun, Bukit Mertajam, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata, pihaknya menerima panggilan 2.29 petang oleh seorang pelajar yang memaklumkan mengenai kejadian menimpa rakan mereka.

Katanya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

"Lokasi keempat-empat mangsa sudah dikenal pasti apabila semua mereka boleh dihubungi melalui panggilan telefon.

"Kini usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan," katanya dalam kenyataan di Bukit Mertajam, hari ini.

Jelasnya, usaha mencari dan menyelamat kesemua mangsa yang berusia 16 tahun itu dilakukan dengan memasuki laluan masuk Empangan Mengkuang.

Baru-baru ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil langkah menutup sementara kawasan rekreasi berkenaan daripada dimasuki orang ramai berikutan kerja-kerja membaiki struktur runtuhan dekat situ.

Kejadian banjir pada November tahun lalu mengakibatkan taman rekreasi itu mengalami kejadian tanah runtuh membabitkan 66 kawasan dan ia masih tidak dibaikpulih namun ditutup dengan kanvas sebagai penghadang.

Berikutan itu, kawasan berkenaan ditutup sebagai langkah keselamatan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 5:54 PM