JAGDEEP Singh Deo ketika sidang media berhubung isu perumahaan. FOTO Ramdzan Masiam
JAGDEEP Singh Deo ketika sidang media berhubung isu perumahaan. FOTO Ramdzan Masiam
Audrey Dermawan


KERAJAAN negeri Pulau Pinang berharap episod dianaktirikan selama 10 tahun oleh Kerajaan Persekutuan diterajui Barisan Nasional (BN) akan berakhir selepas pembentangan Belanjawan 2019 yang dijadualkan berlangsung esok.

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, perhatian penuh perlu diberikan kepada Pulau Pinang, terutama dari aspek perumahan.

“Ini kerana, Pulau Pinang tidak menerima manfaat perumahan ketika pentadbiran Kerajaan Persekutuan terdahulu.

“Regim BN gagal menyediakan rumah Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

“Jadi, kita berharap akan menerima maklum balas memberangsangkan esok apabila Pakatan Harapan (PH) buat julung kalinya membentangkan Belanjawan 2019,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kerajaan negeri menerusi inisiatifnya sebelum ini berjaya membina 28,195 unit rumah kos rendah dan mampu milik, manakala 22,065 unit dalam pelbagai peringkat pembinaan dan 33,212 unit sudah diluluskan untuk dibina sepanjang mentadbir Pulau Pinang sejak 2008.

Jagdeep berkata, pihaknya berharap lebih banyak kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) dibina di Pulau Pinang, selepas muncul sebagai negeri paling sedikit menerima projek berkenaan, iaitu 999 unit berbanding 110,000 di seluruh negara.

“Pembentangan Belanjawan 2019 perlu menitikberatkan dasar untuk menyediakan rumah murah di seluruh negara, tambahan dengan pengenalan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang tidak dikenakan kepada industri pembinaan.

“Kita juga berharap, belanjawan ini akan memastikan pemaju menurunkan harga rumah, selain satu dasar yang menitikberatkan isu kegagalan pembeli rumah pertama mendapatkan pinjaman bank.

“Kita sentiasa melobi Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak berkaitan untuk mengkaji semula polisi yang menyulitkan pembeli rumah pertama, khususnya bagi permohonan pinjaman bank mereka,” katanya.

Info Harapan Belanjawan 2019

* tempoh bayaran balik pinjaman perumahan perlu dipanjangkan daripada 30 tahun kepada generasi kedua.

* pinjaman fleksibel berkaitan peratusan pinjaman diluluskan

* pengurangan kadar faedah bagi rumah mampu milik

* pengenalan konsep sewa beli dengan bank mengutip sewa bagi tempoh lima tahun yang boleh ditukarkan kepada deposit rumah

* pembayaran semula berperingkat

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 9:58 PM