GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Fahmi Mohd Yusof
mohdfahmi@nstp.com.my


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan 15 pegawai belia dan sukan bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu, tengah hari ini.

Tangkapan itu susulan tangkapan dibuat pada 1 Oktober lalu dan hasil siasatan mendapati semua suspek bersubahat dengan kontraktor dengan membuat tuntutan palsu berkaitan kerja penganjuran Program Liga Sukan untuk semua daerah.

Menurut kenyataan SPRM, penganjuran program berkenaan dibuat di Ledang, Mersing, Muar, Batu Pahat, Kulai, Pontian, Kluang dan Kota Tinggi sepanjang 2015 sedangkan program berkenaan tidak dilaksanakan.

Katanya, jumlah keseluruhan tuntutan palsu dibuat melebihi RM90,000.

“Semua suspek yang ditahan berusia antara 30-an hingga 50-an adalah Pegawai Belia dan Sukan di Pejabat Belia dan Sukan Daerah di negeri ini.

“Semua suspek ditahan di Pejabat SPRM Johor pada 12 tengah hari tadi membabitkan lelaki dan wanita.

“Mereka ditahan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi dan penjara sehingga 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan berkata, semua suspek akan dihadapkan ke mahkamah esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 10:19 PM