SYED SADDIQ ABDUL RAHMAN
SYED SADDIQ ABDUL RAHMAN
Haika Khazi

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman menyambut baik tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan 15 pegawai belia dan sukan bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu, tengah hari, semalam.

Berikutan itu Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar mengucapkan terima kasih kepada SPRM kerana cepat bertindak selepas menerima aduan kes terbabit.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada SPRM kerana cepat bertindak dan benteng utama dalam memerangi najis rasuah membabitkan 15 pegawai belia dan sukan KBS ditahan SPRM semalam.

“Saya bertekad untuk menjadikan KBS kementerian nombor satu dalam bab urus tadbir baik, cekap dan amanah. Dua bulan lalu, KBS ada melancarkan lima pelan integriti utama untuk memperkukuhkan budaya integriti kita.

“Kontrak melalui ‘open tender’ (tender terbuka). Pegawai SPRM ditempatkan di pejabat KBS dan melapor terus ke SPRM dan bukan pejabat menteri. – ‘Corruption Risk Mitigation Report (Laporan Mitigasi Risiko Rasuah). – Complete Auditing’ (Audit Lengkap). – Pegawai di Pejabat Menteri perlu isytiharkan harta ke SPRM. #YouthIntegriti demi budaya integriti yang baru!” katanya dalam satu kenyataan ringkas menerusi pesanan Whatsapp kepada media di sini, sebentar tadi.

Syed Saddiq berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan SPRM Johor menahan 15 pegawai belia dan sukan bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu semalam, susulan wujud aduan kesemua suspek bersubahat dengan kontraktor dengan membuat tuntutan palsu berkaitan kerja penganjuran Program Liga Sukan untuk semua daerah.

Terdahulu SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan, penganjuran program berkenaan dibuat di Ledang, Mersing, Muar, Batu Pahat, Kulai, Pontian, Kluang dan Kota Tinggi sepanjang 2015 sedangkan program berkenaan tidak dilaksanakan dengan jumlah keseluruhan tuntutan palsu dibuat melebihi RM90,000.

Difahamkan kesemua suspek yang ditahan, dalam lingkungan 30-an hingga 50-an, adalah Pegawai Belia dan Sukan di Pejabat Belia dan Sukan Daerah di Johor dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. Jika bersabit kesalahan boleh didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000, bergantung kepada mana lebih tinggi dan penjara sehingga 20 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 2:20 PM