GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Junita Mat Rasid

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan lima orang kontraktor untuk membantu siasatan berhubung siasatan berkaitan tuntutan palsu.

Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek membuat tuntutan palsu berkaitan kerja penganjuran Program Karnival SDSI (Satu Daerah Satu Industri) dan Keusahawanan bagi daerah Segamat, Mersing, Muar, Kluang, Tangkak dan Kulai serta Program Minggu PKS (Program Kecil dan Sederhana) Kebangsaan Peringkat Negeri Johor sedangkan semua program terbabit tidak dilaksanakan.

Jumlah keseluruhan tuntutan palsu yang dituntut adalah melebihi RM400,000.

Semua lelaki yang ditahan berusia lingkungan 30 hingga 50-an adalah dari syarikat berasingan ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira jam 10 malam tadi.

Semua suspek dijangka dibawa ke mahkamah pagi ini bagi mendapat perintah tahanan reman bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Menurut sumber siasatan masih diteruskan bagi mengesan dan membuktikan penjawat awam yang terbabit di sebalik tuntutan ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pengarah SPRM Johor,Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan lima lelaki itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 9:58 AM