GERAI laksa kebok. FOTO Safuri Kamarudin
GERAI laksa kebok. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


“SAYA akan tunggu surat rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung punca keracunan yang dikaitkan dengan laksa kebok,” kata pemilik gerai laksa kebok di Baling, Daud Ismail.

Daud, 51, berkata dia reda dengan keputusan ujian yang mendapati keracunan yang dikaitkan dengan perusahaannya, namun menuntut dikeluarkan surat rasmi daripada kementerian.

Menurutnya, kenyataan kementerian yang diselitkan banyak perkataan 'kemungkinan' berhubung punca keracunan perlu dimuktamadkan melalui surat rasmi.

“Pihak berkenaan belum lagi menyerahkan surat rasmi dan hanya mengeluarkan kenyataan melalui media.

“Jika ada keputusan, saya minta percepat. Sila maklum dengan bersurat baru kita dapat kepastian.

“Saya tidak mahu ada kenyataan kemungkinan, kemungkinan. Kita tak terima. Jika sabit banyak kemungkinan apa cerita? Bukannya orang lekeh-lekeh buat kerja, ini kementerian,” katanya ketika ditemui NSTP, hari ini.

Dia berkata, 'Salmonella' seperti dijelaskan berpunca daripada makanan seperti telur, hasil telur, daging, ayam dan susu, namun semua itu tidak digunakan dalam pemprosesan laksa kebok.

“Semua ini tiada dalam laksa yang diproses. Apabila tengok kenyataan itu semalam kita rasa peliklah... peliklah kenapa berkemungkinan daripada laksa.

“Saya binatang pun tak bela, tak ada ayam atau kucing,” katanya.

Daud berkata, dia akur dengan arahan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Baling dan membersih tempat memproses laksa dan membuat jadual berkala.

“Insya-Allah saya juga akan menambah menu baru Laksa Udang Tertungging tidak lama lagi,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Bakteria dalam mi laksa...

Gerai laksa beroperasi semula

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 7:22 PM