DUA lelaki warganegara asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Pengkalan Kuala Kurau. FOTO Ihsan APMM
DUA lelaki warganegara asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Pengkalan Kuala Kurau. FOTO Ihsan APMM
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


TINDAKAN dua lelaki warga asing bersembunyi di dalam ruangan enjin dan membiarkan tekong di atas bot, gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pengkalan Kuala Kurau dekat Parit Buntar, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Pangkalan Kuala Kurau, Mohamad Zainal berkata, bot ronda Maritim terserempak dengan bot pukat hanyut dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan 4.14 batu nautika dari pesisiran pantai Kuala Gula, di sini, 4.30 petang

Beliau berkata, pihaknya segera menghampiri bot itu dan mendapati seorang tekong bot berusia 30-an berada di dalam bot berkenaan.

“Sejurus ditahan, pihak kami segera melakukan pemeriksaan lanjut ke atas bot itu dan sewaktu memeriksa di bahagian perumah enjin, terdapat dua lelaki bersembunyi di dalamnya.

“Kedua-duanya diarahkan keluar dari tempat persembunyian itu dan pemeriksaan lanjut mendapati mereka tidak memiliki sebarang pengenalan diri dan dipercayai warga Indonesia.

“Bot bersama tekong serta dua warganegara asing itu yang dipercayai bekerja sebagai awak-awak, segera dibawa ke jeti pengkalan dan diserahkan kepada bahagian siasatan,” katanya dalam kenyataan media di sini, tengah malam tadi.

Mohamad berkata, tekong bot dilepaskan dengan jaminan polis manakala kedua-dua warga asing itu akan dibawa ke Mahkamah Taiping 10 pagi ini untuk permohonan reman seterusnya diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan pekerja asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia manakala pemilik bot akan disiasat kerana menggaji pekerja asing tanpa sebarang permit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 8:40 AM