FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


MAHKAMAH Tinggi Kuala Terengganu, hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap pemandu klinik kesihatan selepas didapati bersalah menumbuk penyelianya kerana tidak berpuas hati permohonan cutinya tidak diluluskan.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu selepas mengenepikan hukuman yang dibuat Mahkamah Majistret Besut terhadap tertuduh, Mohd Khairul Ahman Mohammad, 42, dari Jertih, Besut pada 13 September 2017.

Sebelum ini, tertuduh dilepaskan dengan bon berkelakuan baik dan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin selama dua tahun mengikut Seksyen 173A Kanun Prosedur Jenayah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya memohon semakan semula hukuman terhadap tertuduh kerana hukuman dikenakan terhadap tertuduh sebelum ini tidak memadai.

Zainal Azman memutuskan tertuduh dihukum penjara selama lapan bulan dan hukuman penjara itu bermula daripada tarikh sabitan.

Terdahulu, Zainal Azman dalam penghakimannya berharap kes berkenaan menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya tidak berpuas hati dengan pihak atasan dan seharusnya menggunakan saluran yang ada.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Penolong Pegawai Kesihatan, Mohd Hushairi Mokhtar, 43, di Pejabat Kesihatan Besut, Bangunan Wisma Persekutuan, Kampung Raja, Besut, jam 2.32 petang pada 15 Ogos 2016.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Yusof Majid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 3:13 PM