Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Dua bekas penjawat awam dikenakan denda RM10,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen, di sini selepas mengaku salah menipu seorang mekanik sehingga menyerahkan wang sebanyak RM4,000 sebagai bayaran kompaun.

Malah, Tuan Faizul Azli Tuan Man, 29 dan Tuan Saifuladli Tuan Mansor, 30, turut berdepan hukuman penjara 12 bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Murtazadi Amran membuat keputusan itu selepas Tuan Faizul Azli dan Tuan Saifuladli mengaku salah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menjalankan niat bersama dengan curangnya menipu Ismail Mat Noor, 46, sehingga menyebabkannya menyerahkan wang tunai RM2,000 yang dikatakan sebagai bayaran kompaun kerana melanggar syarat pengalihan pasir di tepi Sungai Rua, Felcra Keruak, Kampung Keruak,Hulu Besut, Besut, jam 2 petang pada 22 Jun 2012.

Mereka mengulangi kesalahan sama di hadapan CIMB Bank cawangan Jertih, Besut, 10.30 pagi pada 24 Jun 2012.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Farah Yasmin Salleh, manakala tertuduh diwakili peguam, Wan Zainuddin Wan Musa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 3:55 PM