Urus Setia Green Fun Run 2018 bersedia menanti kehadiran 600 peserta.
Urus Setia Green Fun Run 2018 bersedia menanti kehadiran 600 peserta.
HM Digital

KIRA-KIRA 600 peserta dijangka menyertai `Larian Green Fun Run 2018’, bermula di Politeknik Port Dickson (PPD), Seremban, pada 20 Oktober ini.

Program anjuran Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan PPD itu diadakan sempena Minggu Inovasi Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2018.

Jurucakap urus setia larian, Noor Hairunnisa Mohamad, berkata larian tujuh kilometer itu membabitkan enam kategori, antaranya kategori terbuka, veteran dan remaja yang mana penyertaan masih dibuka.

Katanya, dengan yuran penyertaan hanya RM30, peserta layak menerima baju larian, pingat, cabutan bertuah dan sijil penyertaan.

“Larian ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah lebih RM6,000 untuk pemenang tempat pertama bagi setiap kategori hingga tempat ke-10.

“Bagi memeriahkan acara, orang ramai berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah menarik yang disediakan. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 19 Oktober ini," katanya di sini, hari ini.

Noor Hairunnisa Mohamad (paling kanan) berbincang mengenai persiapan program Green Fun Run 2018 di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan, pada 20 Oktober ini.
Noor Hairunnisa Mohamad (paling kanan) berbincang mengenai persiapan program Green Fun Run 2018 di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan, pada 20 Oktober ini.

Noor Hairunnisa berkata, program Minggu Inovasi peringkat Negeri Sembilan akan berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Oktober ini.

Katanya, pelbagai aktiviti menanti pengunjung, antaranya Pameran Inovasi, Sains dan Teknologi, Pertandingan Interaktif Pelajar Sekolah, Bicara Keusahawanan, Pemeriksaan Kesihatan dan Trail Hunt.

Maklumat lanjut, layari laman Facebook run4umalaysia manakala bayaran boleh dibuat atas nama NS EVENTS, Maybank 555171508404. atau hubungi Mei 013-3664765, Lee 012-2846811 atau Zai 012-2526183.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 2:52 PM