AZWAN Buangsi sebak menceritakan mengenai keempat rakan mereka yang terkorban ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja di lombong Taman Putra Perdana, Puchong. FOTO Faiz Anuar
AZWAN Buangsi sebak menceritakan mengenai keempat rakan mereka yang terkorban ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja di lombong Taman Putra Perdana, Puchong. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain


PENGALAMAN menjalankan operasi mencari dua mangsa lemas di bekas lombong Taman Putra Perdana, Puchong, 20 Mei lalu membolehkan seorang anggota bomba membayangkan bagaimana rakannya cuba menyelamatkan diri.

Anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, Azwan Buangsi, 25, berkata, dia sedih mengimbau kembali situasi di kawasan itu kerana mengetahui kesukarannya.

“Saya pernah menjalankan kerja mencari dan menyelamat di lokasi sama sekali gus teringat keadaan air di situ pada waktu malam.

“Namun, Alhamdulillah tiada masalah ketika itu dan apa yang mereka (enam mangsa) buat sama seperti pasukan kami sebelum ini.

“Apabila menempuh situasi menyelamat mangsa lemas ketika itu, saya dapat bayangkan bagaimana mereka bergelut pada saat akhir dan berakhir ajal di situ,” katanya ketika ditemui NSTP.

Azwan turut terkilan menyaksikan klip video yang tersebar ketika kejadian apatah lagi dia mengenali rapat semua mangsa terutama Allahyarham Yahya Ali.

“Yahya memang berjiwa penyelamat kerana dia nampak rakan dalam kesusahan dan memaksa dirinya membantu walaupun berisiko.

“Dia sahabat baik saya dalam PPDA dan kami bersama menyelam dan banyak menghabiskan masa walaupun berbeza pasukan,” katanya sebak.

Azwan berkata, kali terakhir dia bersama arwah Yahya ketika mereka bermain bola tampar pada 5.30 petang sebelum pasukan itu diarahkan ke lokasi kejadian 3 Oktober lalu.

Sementara itu, seorang lagi rakan, Jason Joseph, 25, berkata, jika tidak menyertai pertandingan kawad kecekapan di Terengganu, dia akan turut bersama semua mangsa menyertai operasi berkenaan.

“Sebaik mengetahui berita kejadian itu, saya hanya teringatkan kenangan dengan Yahya dan rakan lain sebelum ini.

“Yahya begitu prihatin terhadap kami. Baju saya hilang, lupa letak telefon bimbit di mana semua Yahya tahu. Saya sangat rindu arwah,” katanya yang menitiskan air mata.

  • Lagi berita berkaitan Tragedi 6 Bomba Lemas
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 6:00 PM