PASUKAN penyelamat mengusung mayat Salleh (gambar kecil) untuk dihantar ke Hospital Pontian, hari ini. FOTO Togi Marzuki
PASUKAN penyelamat mengusung mayat Salleh (gambar kecil) untuk dihantar ke Hospital Pontian, hari ini. FOTO Togi Marzuki
Togi Marzuki


NELAYAN Salleh Mahmod, 61, yang ditemui lemas di perairan Tampok, Benut, hari ini menghubungi anak perempuannya yang belajar di Mesir supaya pulang ke tanah air bersama abangnya kerana merindui mereka.

Anak perempuannya Hadijah, 21, berkata sebulan sebelum kejadian arwah sering menghubungi sambil memintanya pulang bersama abangnya, Abd Malik, 26.

Hadijah yang juga anak bongsu daripada 10 beradik, berkata dia kini menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir bersama Abd Malik.

“Saya pulang ke kampung kerana bercuti dan ia adalah detik paling sedih apabila bapa ditemui lemas di kawasan ini.

“Saya hanya sempat bersalam dengan bapa beberapa jam sebelum kejadian dan lebih menyedihkan, bapa bertanya kenapa abang tak pulang bersama kali ini?

“Sebelum pulang ke tanah air, abang (Abd Malik) cuma berpesan tidak dapat ikut kembali ke Malaysia kerana tidak dapat cuti,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pontian.

Hadijah yang ditemani ibunya, Semmi Ishak, 59, berkata pendapatan bapanya sebagai nelayan tidak menentu, namun berjaya menunaikan tanggungjawab kepada keluarga hingga anak berjaya menuntut ilmu ke menara gading.

“Tidak dinafikan, bapa seorang ketua keluarga yang ringan tulang, aktif dalam pelbagai aktiviti seperti bergotong-royong dengan masyarakat kampung selain melakukan pelbagai kerja sampingan seperti mengambil upah membersihkan kebun penduduk.

“Sikap mulia bapa bukan saja disenangi penduduk setempat, malah menjadi contoh terbaik kepada semua anak-anaknya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, mayat mangsa ditemui di perairan Tampok, Benut, kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia terjatuh jam 10 pagi hari ini.

Menurutnya, sebelum itu anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit melakukan SAR sejak jam 4.30 pagi untuk mengesan nelayan berasal dari Kampung Sungai Bagan, Rengit, Batu Pahat itu.

Katanya, dalam kejadian jam 4 pagi mangsa bersendirian dikatakan menaiki bot kecil menuju ke bot besar milik rakannya berhampiran Jeti Nelayan Tampok Laut, Benut untuk ke laut.

“Malangnya, apabila tiba di tempat kejadian mangsa tergelincir ketika cuba menaiki bot berkenaan dan jatuh ke laut sebelum hilang dibawa arus deras.

“SAR dilakukan sebaik menerima maklumat daripada pemilik bot dibantu lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), empat anggota Balai Polis Benut, nelayan dan dua anggota BBP Pontian Lama serta Rengit, Batu Pahat.

“Pasukan bomba diketuai Pegawai Kanan Bomba BBP Pontian Azhar Abd Jalil bersama 14 anggota menemui mangsa di kedudukan 2.5 kilometer dari lokasi mangsa terjatuh sebelum dibawa ke Hospital Pontian untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 8:10 PM