FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Yusmizal Dolah Aling


Rawang: Polis menahan tujuh lelaki berusia antara 25 hingga 32 tahun yang disyaki menyamar sebagai anggota polis di Bukit Beruntung, dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Deputi Superintendan Ridzuan Khalid berkata, dalam kejadian 5.30 petang itu, seorang lelaki berusia 20 tahun dan rakannya yang menginap di sebuah hotel, di sini, didatangi seseorang yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Katanya, lelaki berkenaan meminta kad pengenalan dan telefon bimbit mangsa dan rakannya itu dan mengarahkan mereka menunggu di bilik sementara lori polis tiba untuk membawa mereka ke balai polis berhampiran.

"Namun tidak lama kemudian, mereka melarikan diri bersama kad pengenalan dan telefon bimbit pengadu dan rakannya dengan menaiki sebuah Perodua Axia berwarna merah.

"Bertindak atas maklumat, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor melakukan dua serbuan di sekitar kawasan ini dan menangkap tujuh lelaki bersama merampas barangan.

"Ujian air kencing ke atas semua suspek mendapati dua daripada mereka positif Methamphetamin manakala lima yang lain negatif," katanya dalam satu kenyataan hari ini,

Beliau berkata, nilai rampasan barangan iaitu enam buah telefon bimbit dianggarkan bernilai RM15,000.

Menurutnya, semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang membabitkan jenayah dan dadah.

"Mereka direman selama enam hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan iaitu samun dan menyamar sebagai polis.

"Bagi kesalahan samun, mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan manakala bagi kesalahan menyamar sebagai polis atau penjawat awam, mereka berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 8:52 PM