Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


CALON Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, meminta pengundi memberinya peluang menjadi Ahli Parlimen Port Dickson.

Katanya, pengalaman sebagai ahli politik selama lebih 40 tahun termasuk sebagai Ahli Parlimen Jempol, akan membolehkannya terus menabur bakti kepada rakyat.

"Saya harap pengundi dapat beri saya peluang menjadi Ahli Parlimen Port Dickson buat pertama kalinya.

"Dengan pengalaman yang ada, saya yakin dapat tunaikan kehendak masyarakat setempat dengan sebaik mungkin kerana saya tahu setiap masalah di sini," katanya selepas mengadakan tinjauan mesra di Pasar Lukut, Port Dickson, hari ini.

Mohd Isa berkata, penduduk yang mengenalinya boleh terus berjumpanya seperti sebelum ini kerana pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang dalam Parlimen Port Dickson.

Ditanya mengenai strategi hari terakhirnya berkempen, Mohd Isa hanya meneruskan kempen seperti yang dilakukan pada hari pertama iaitu bertemu dengan pengundi.

"Apa yang penting adalah berjumpa seramai mungkin pengundi secara berdepan kerana kesannya lebih baik," katanya.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu gembira melihat sambutan menggalakkan dalam setiap kempen dilakukan.

"Saya keluar masuk banyak kawasan untuk berkempen dan melihat sambutan masyarakat sangat positif.

"Justeru, saya minta semua pengundi terutama rakan saya tidak kira dari parti mana sekali pun supaya mengundi saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 1:43 PM