PENDUDUK Kampung Bestari Jaya menyimpan air secukupnya sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual bermula 13 hingga 16 Oktober ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
PENDUDUK Kampung Bestari Jaya menyimpan air secukupnya sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual bermula 13 hingga 16 Oktober ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: "Saya sudah mengisi air ke dalam beberapa tong besar dan baldi selain membeli air mineral dalam kuantiti banyak. Pakaian juga dibasuh awal bagi mengelakkan ia bertimbun semasa ketiadaan air nanti," kata kakitangan swasta, Sharifah Bibi Karamdin, 52.

Dia yang menetap di Kampung Bestari Jaya, di sini, gusar jika kehidupannya dan keluarga terjejas susulan gangguan bekalan air berjadual bermula lusa hingga 16 Oktober kelak.

Menurutnya, ketiadaan lori menghantar bantuan bekalan air atau pili awam menyebabkan penduduk resah setiap kali masalah itu melanda.

"Saya dan penduduk terpaksa pergi ke Stadium Tertutup Kuala Selangor atau pili awam stesen bas Tanjong Karang yang jaraknya kira-kira 30 kilometer untuk mendapatkan air.

"Oleh itu kami amat berharap lori bantuan bekalan air dan pili awam disediakan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual," katanya.

Menurutnya, dia sekeluarga melakukan persediaan awal dengan menyimpan air secukupnya selepas menerima maklumat itu melalui aplikasi WhatsApp, dua hari lalu.

"Saya amat berharap Air Selangor dapat menggerakkan kemudahan lori bantuan bekalan air ke kampung itu," katanya.

Sementara itu, suri rumah, Raja Zainah Raja Abdul Hamid, 59, berkata, dia hanya menggunakan botol air terpakai dan baldi untuk menyimpan bekalan air susulan tidak mempunyai tangki simpanan atau tong besar.

"Saya terpaksa gunakan cara ini disebabkan kurang berkemampuan selain tidak mempunyai kenderaan untuk mengambil air di Stadium Tertutup Kuala Selangor atau pili awam stesen bas Tanjong Karang.

"Harap bekalan air segera pulih kerana saya tidak tahu air yang disimpan dapat bertahan beberapa hari," katanya.

Sebelum ini sejumlah 998 kawasan sekitar Selangor mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula pada 9 pagi pada 13 Oktober hingga 16 Oktober.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Suhaimi Kamaralzaman dilaporkan berkata, gangguan disebabkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) akan dihenti tugas untuk memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal.

Beliau berkata, Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor adalah antara kawasan yang disenarai akan terjejas oleh gangguan bekalan air.

"Bekalan air akan diagihkan secara berperingkat kepada pengguna bermula pada jam 5 petang 14 Oktober selepas kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan disiapkan dan sistem pengagihan bekalan air kembali stabil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 6:59 PM