STATUS dimuat naik di Facebook Lokman, malam tadi mengenai Najib akan dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat AMLA di Kuala Lumpur, hari ini.
STATUS dimuat naik di Facebook Lokman, malam tadi mengenai Najib akan dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat AMLA di Kuala Lumpur, hari ini.
Wartawan NSTP


BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipanggil lagi untuk memberi keterangan di ibu pejabat Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam menerusi status dimuat naik di akaun Facebook miliknya, malam tadi.

Menerusi status dimuat naik pada 11.05 malam itu, Najib dijangka akan hadir ke pejabat unit berkenaan pada 10 pagi hari ini bagi membantu siasatan mengikut Akta AMLA.

“Semua teman-teman seperjuangan yang berkelapangan dijemput untuk hadir sama sekitar 9.30 pagi.

“Ini sebagai tanda solidariti bersama ‘Datuk Seri Najib Razak’ dan sebagai bantahan kita terhadap penyalahgunaan AMLA ke atas musuh politik Pakatan Harapan,” tulis beliau.

Beliau ketika dihubungi NSTP mengesahkan perkara itu dan memaklumkan akan hadir bersama Najib sebagai tanda sokongannya kepada bekas Presiden UMNO itu.

Ini adalah kali keempat Najib dipanggil memberi keterangan kepada Unit AMLA berhubung siasatan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau sebelum ini pernah dipanggil pada 20 September serta 27 dan 30 Ogos lalu berhubung siasatan kes sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 1:19 AM