DUA individu cedera selepas buggy dinaiki dihempap pokok tumbang dalam kejadian di kelab golf di Bukit Kiara, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
DUA individu cedera selepas buggy dinaiki dihempap pokok tumbang dalam kejadian di kelab golf di Bukit Kiara, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Nor Azizah Mokhtar


DUA lelaki dilaporkan cedera selepas ‘buggy’ dinaiki mereka ditimpa pokok tumbang dalam kejadian di sebuah kelab golf di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Kuala Lumpur berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tun Dr Ismail bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan pada 5.29 petang.

“Kejadian membabitkan pokok tumbang dan sebahagian dahan menghempap buggy dinaiki dua mangsa berkenaan.

“Kedua-dua mangsa dilaporkan cedera ringan dan dihantar ke hospital swasta di Damansara Utama untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid, ketika dihubungi NSTP mengesahkan kejadian itu, namun memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung kejadian itu.

“Kami sudah menghantar sepasukan anggota ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.

“Kami dimaklumkan kedua-dua mangsa hanya cedera ringan, bagaimanapun kami masih menunggu laporan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya belum dapat memastikan identiti kedua-dua mangsa sama ada mereka bermain golf di situ atau petugas kelab golf berkenaan.

Sementara itu, satu rakaman video berdurasi 24 saat menunjukkan beberapa individu dipercayai petugas di kelab golf itu berusaha memotong dahan pokok untuk mengeluarkan dua mangsa yang tersepit di dalam buggy, kini tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 10:00 PM