Anggota penyelamat membawa keluar mayat mangsa. FOTO Ihsan APM
Anggota penyelamat membawa keluar mayat mangsa. FOTO Ihsan APM
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

LELAKI orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran yang tergelincir ketika mencari rebung di Empangan Timah Tasoh, Jalan Sahabat, Kaki Bukit, Padang Besar, semalam ditemui lemas, hari ini.

Mangsa, Rozain Rosly, 30, dari FELCRA Lubuk Sireh dipercayai tergelincir ketika sedang mengutip rebung di tebing empangan terbabit jam 7 malam sebelum mayatnya ditemui jam 9 pagi ini.

Abang mangsa, Rosaidy Rosly, 30-an berkata, ketika kejadian, dia dan adiknya berada di kawasan berhampiran empangan untuk menghalau lembu milik mereka masuk ke kandang.

“Bagaimanapun, kira-kira 7 malam tadi, saya tidak nampak kelibat adik dan memang rutin kami halau lembu ke kandang bersama sebelum senja.

“Saya mencarinya di sekitar empangan dan bertanya kepada pemancing berhampiran jika mereka ada terlihat adik, namun mereka menafikannya," katanya ketika ditemui, hari ini.

Rosaidy berkata, dia mencari adiknya semalaman sebelum terjumpa bungkusan plastik berisi rebung milik adiknya di tebing empangan dan mengesyaki sesuatu berlaku padanya.

“Saya menghubungi pihak bomba kira-kira jam 10 malam selepas mengesyaki sesuatu yang tidak elok berlaku pada adik kerana memang rutinnya mengutip rebung sebelum menghalau lembu masuk ke kandang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Muhamad Halim Yatim ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

"Pihak kami menerima panggilan kecemasan daripada pihak bomba jam 10.30 malam berhubung kehilangan mangsa di kawasan empangan berkenaan.

"Mayatnya ditemui oleh pihak penyelamat di dalam empangan terbabit pagi tadi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 2:03 PM