LOKASI mayat mangsa ditemui. FOTO Ihsan Pembaca
LOKASI mayat mangsa ditemui. FOTO Ihsan Pembaca
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

LELAKI ditemui mati di sisi motosikal di tepi parit di Parit Lintang, Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, di Parit Buntar, hari ini.

Mayat Mohd Zulhilmi Jalaludin, 32, ditemui oleh orang awam selepas melihat motosikal terbalik di tebing parit berkenaan pada 5.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pihaknya menerima panggilan dari orang awam 10 minit kemudian dan segera ke lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa dipercayai terbabas sendiri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mangsa dilaporkan dalam perjalanan menuju ke rumahnya dan motosikal yang ditunggang dipercayai terbabas ke kiri jalan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat,” katanya kepada NSTP.

Beliau berkata, bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan pada bahagian kepala.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 3:55 PM