Nik Sukry Ramli

PENGUSAHA kebun sayur haram dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini, atas dua tuduhan memberi suapan kepada Timbalan Komander Operasi Ops Gading di Cameron Highlands, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Rayhan Shahid, 45, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Mengikut pertuduhan, Rayhan dituduh memberi suapan berjumlah RM3,000 kepada Sanifah Yusof bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan terhadapnya dan tanah kebun diusahakan di Lembah Bertam, dekat Cameron Highlands.

Dia juga didakwa memberi suapan berjumlah RM2,000 kepada orang sama bagi mengelak dikenakan tindakan melakukan kesalahan mengikut Kanun Tanah Negara kerana mengusahakan tanah kebun secara tidak sah.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu pada 13 Mei dan 21 Mei 2015 di Coffee House, Hotel Heritage dan Restoran Strawberry Park Resort, Cameron Highlands.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama.

Mohd Ghazali mengarahkan tertuduh yang ditahan pada 1 Julai 2015, diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan tertuduh juga diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 17 Oktober ini bagi tarikh sebutan semula dan pengurusan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 12:22 PM
PEKEBUN sayur terbabit ketika dibawa ke mahkamah. FOTO Muhd Asyraf Sawal
PEKEBUN sayur terbabit ketika dibawa ke mahkamah. FOTO Muhd Asyraf Sawal