Pekebun bunga kekwa di Cameron Highlands, Chin Peng, 49, dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuanatan, kerana merasuah pegawai MKN dua tahun lalu. - Foto MUHD ASYRAF SAWAL
Pekebun bunga kekwa di Cameron Highlands, Chin Peng, 49, dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuanatan, kerana merasuah pegawai MKN dua tahun lalu. - Foto MUHD ASYRAF SAWAL
BERNAMA

SEORANG pengusaha kebun haram di Cameron Highlands dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini, atas tuduhan memberi dan menawarkan rasuah RM2,000 kepada pegawai penguatkuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN), dua tahun lalu.

Tertuduh Chin Peng, 49, dijatuhkan hukuman itu setelah mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof

Mengikut kertas pertuduhan, Chin Peng, pengusaha kebun bunga didakwa menawarkan rasuah wang tunai RM2,00 kepada pegawai MKN Sanifah Yusof sebagai dorongan tidak mengambil tindakan pembersihan kebun yang diusahakannya secara haram dan tanpa permit di Hutan Simpan Ringlet, Cameron Higlands.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Vintage Tea Lounge Hotel Heritage, Tanah Rata, Cameron Highlands pada 9.15 pagi, 10 April 2015.

Ia kesalahan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 ( Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Peguam Simon Evanson yang mewakili Chin Peng merayu supaya mengenakan hukuman ringan terhadap anak guamnya memandangkan dia menjimat masa dan kos perbicaraan mahkamah dengan pengakuan bersalah.

“Selain kesal dengan perbuatan yang dilakukannya, tertuduh juga sebenarnya telah mengemukakan permohonan bertulis sebanyak tiga kali kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan lesen sementara iaitu pada 1997, 2002 dan 2012, namun tiada maklum balas menyebabkan dia melakukan penerokaan secara haram itu,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Badan Pencegahan Rasuah Malaysia Mohd Fadly Mohd Zamry meminta mengenakan hukuman setimpal dengan kesalahan sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Mahkamah kemudian mengenakan hukuman penjara selama sehari dan RM10,000 denda kepada tertuduh atau empat bulan penjara jika gagal menjelaskan denda tersebut. Tertuduh membayar denda itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 4:30 PM