KAKITANGAN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan mengundi di Sekolah Rendah Kebangsaan Port Dickson, semalam. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
KAKITANGAN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan mengundi di Sekolah Rendah Kebangsaan Port Dickson, semalam. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Veena Rusli


TEPAT jam 8 pagi ini, bermulalah proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson selepas berakhir kempen selama 14 hari.

Mengikut perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 68,317 pengundi dijangka menunaikan tanggungjawab masing-masing di 32 pusat mengundi membabitkan 154 saluran.

Ini adalah PRK keempat diadakan selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong - ketiga-tiganya di Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.

PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas kerusi itu dikosongkan oleh penyandang Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, dari PKR pada 12 September lalu.

Tindakan itu dibuat bagi membolehkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) dan kembali ke Dewan Rakyat.

Selain Anwar, pertandingan tujuh penjuru itu turut membabitkan calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon atas tiket Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad.

Turut bertanding sebagai calon Bebas ialah bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong, bekas pensyarah Lau Seck Chan dan pakar perunding Kan Chee Yuen.

Pada PRU-14, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi menewaskan Datuk VS Mogan daripada Barisan Nasional (BN) dan calon PAS Mahfuz Roslan.

Parlimen Port Dickson mempunyai lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Chuah dan Lukut yang masing-masing diwakili DAP, Bagan Pinang dan Linggi (BN) serta Sri Tanjung (PKR).

Proses pengundian awal bagi 7,191 anggota pasukan keselamatan diadakan pada 9 Oktober lalu di tiga pusat mengundi membabitkan 13 saluran.

Mereka merangkumi 6,636 anggota tentera dan pasangan masing-masing yang mengundi di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) dan Kem Segenting PD serta 555 anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

Semua pusat pengundian akan ditutup tepat jam 5.30 petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 8:05 AM